Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, August 7, 2010

Melayu Belajarlah daripada Sejarah

CATATAN TERAKHIR SULTAN ABDUL HAMID (SEBELUM TUMBANGNYA KERAJAAN UTHMANIAH)

“Anak ku, ayah melihat orang-orang di sini sudah mulai memuji paras rupa dan kecantikan mu. Maka mulai hari ini ayah ingin kamu mengenakan hijab dengan sempurna, kerana kamu sudah menjadi wanita dewasa sekarang.”

Ungkapan kata penuh kasih sayang itu dituturkan dengan suara lembut oleh Sultan Abdul Hamid II kepada anaknya Aishah saat mereka melintasi hadapan Masjid Hamidiye Yildiz yang terletak tidak jauh dari pintu masuk istananya.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak kisah yang memilukan hati menimpa diri dan keluarga Sultan. Percubaan pembunuhan dengan meletakkan bom di dalam kereta kuda Sultan. Pengeboman itu terjadi selang beberapa saat seusai solat Jumaat. Allah masih menghendaki Sultan Abdul Hamid tetap bertakhta memimpin umat. Usaha khianat untuk menamatkan nyawa orang nombor satu di dunia Islam itu telah gagal.

Di hadapan istana ini, Sultan sering melaksanakan solat dan keluar menemui rakyat yang selalu dekat di hatinya.

Di situ juga, Sultan sesekali menunggang kuda ditemani anaknya Aishah, sambil menitahkan erti pentingnya menegakkan syariah bagi muslimah. Sejak saat itu anaknya mutahajibah (berhijab) sempurna, ini menandakan puterinya Aishah Osmanuglu telah memasuki usia akil baligh.

Istana Yildiz yang diperbuat dari kayu ini adalah tempat tinggal pilihan Sultan Abdul Hamid II, setelah beliau meninggalkan segala bentuk kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini di Istana Dolmabahce.

Sultan Abdul Hamid II, lahir pada hari Rabu, 21 September 1842. Dengan nama lengkapnya, Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan. Sultan adalah putera Abdul Majid dari isteri kedua beliau. Ibunya meninggal saat Abdul Hamid berusia 7 tahun. Sultan menguasai bahasa Turki, Arab, dan Parsi. Gemar membaca dan bersyair.

Sebelumnya, kekhalifahan dipimpin bapa saudaranya iaitu Abdul Aziz yang berkuasa cukup lama. Sultan Abdul Aziz digulingkan kemudian dibunuh oleh musuh politik Khilafah Uthmaniyyah. Khalifah setelah Abdul Aziz adalah Sultan Murad V, putera Abdul Aziz. Namun kekuasaannya tidak berlangsung lama dan digulingkan setelah 93 hari berkuasa kerana dianggap tidak upaya menjadi khalifah.

Sultan Abdul Aziz mewariskan negara dalam keadaan hiruk-pikuk dan tidak terurus. Tunggakan hutang luar negeri, parlimen yang tidak berfungsi, campur tangan asing di dalam negeri, tarik menarik antara pelbagai kepentingan Dewan Negara dan Dewan Menteri serta para ahli politik yang korup.


Pada 14 Ogos 1876 (1293 H), Sultan Abdul Hamid dibai’at sebagai Khalifah. Saat itu usianya 34 tahun. Dia menyedari bahawa pembunuhan bapa saudaranya serta perubahan-perubahan kekuasaan yang terjadi saat itu merupakan konspirasi global melawan Khilafah Islamiah. Namun Sultan Abdul Hamid II dapat menjalankan pemerintahannya dengan baik, sering berbicara dengan pelbagai lapisan masyarakat, baik kalangan ahli politik , intelektual, rakyat jelata mahupun dari kelompok-kelompok yang kurang disukainya (lihat Shaw, 1977:212).

Kebijaksanaannya menguruskan urusan seluruh kaum Muslimin membuatkan ia semakin popular. Namanya sering disebut dalam doa-doa di setiap solat Jumaat di seantero bumi. Sokongan padu kaum Muslimin dan kesetiaan mereka terhadap Sultan Abdul Hamid II ini berhasil mengurangi tekanan Eropah terhadap Uthmaniyyah.

Abdul Hamid mengembangkan amanah dengan memimpin sebuah kerajaan yang luasnya membentang dari timur dan barat. Di tengah situasi negara yang genting dan kritis. Beliau menghabiskan 30 tahun kekuasaannya sebagai Khalifah dengan dikelilingi konspirasi, mehnah, fitnah dari dalam negeri sementara dari luar negeri ada perang, revolusi, dan ancaman globalisasi dan tuntutan pelbagai perubahan yang senantiasa terjadi.

Termasuk usaha jahat yang sistematik yang dilakukan kaum Yahudi untuk mendapatkan tempat tinggal tetap di tanah Palestin yang masih menjadi sebahagian dari wilayah kekhalifahan Uthmaniyyah. Pelbagai langkah dan strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi untuk menembus dinding khilafah Uthmaniyyah, agar mereka dapat memasuki Palestin.

Pertama, pada tahun 1892, sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan kepada Sultan Abdul Hamid, untuk mendapatkan keizinan tinggal di Palestin. Permohonan itu dijawab Sultan dengan ucapan “Pemerintah Uthmaniyyah memaklumkan kepada seluruh kaum Yahudi yang ingin hijrah ke Turki, bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di Palestin”, mendengar jawapan seperti itu kaum Yahudi amat kecewa, sehingga duta besar Amerika turut campur tangan.

Kedua, Theodor Hertzl, penulis Der Judenstaat (Negara Yahudi), pengasas negara Israel sekarang, pada tahun 1896 memberanikan diri menemui Sultan Abdul Hamid sambil meminta izin mendirikan perniagaan di al Quds. Permohonan itu dijawab Sultan:

“Sesungguhnya jajahan Uthmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan kalian itu dalam kantung kalian sendiri”.

Melihat keteguhan Sultan, mereka kemudian membuat strategi ketiga, iaitu melakukan Konferensi Basel di Switzerland, pada 29-31 Ogos 1897 dalam rangka merumuskan strategi baru menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah.

Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan pada tahun 1900 mengeluarkan keputusan pelarangan atas rombongan penziarah Yahudi di Palestin untuk tinggal di sana lebih dari tiga bulan, pasport Yahudi harus diserahkan kepada petugas khilafah yang berkaitan. Dan pada tahun 1901 Sultan mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di Palestin.

Pada tahun 1902, Hertzl untuk ke sekian kalinya menghadap Sultan Abdul Hamid untuk melakukan menyogokkan (rasuah). Di antara sogokkan yang Hertzl tawarkan kepada Sultan adalah :

1. 150 juta paun sterling Inggeris khusus untuk Sultan.
2. Membayar semua hutang pemerintah Uthmaniyyah yang mencapai 33 juta paun sterling Inggeris.
3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank
4. Memberi pinjaman 5 juta pound sterling tanpa bunga.
5. Membangunkan Universiti Uthmaniyyah di Palestin.

Semuanya ditolak Sultan, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl, diwakilkan kepada Tahsin Basya, Perdana Menterinya, sambil memberikan pesanan, “Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangnya. Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milik ku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah Uthmaniyyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuh ku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup.”

Sejak saat itu kaum Yahudi dengan Zionisme melancarkan gerakan untuk menumbangkan Sultan. Dengan menggunakan pelbagai kempen dan istilah seperti “liberation”, “freedom”, dan sebagainya, mereka menyebut pemerintahan Abdul Hamid II sebagai “Hamidian Absolutism”, dan sebagainya.

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasib ku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah Khalifah yang bertanggungjawab atas umat ini. Tempat ku adalah di sini. Di Istanbul!” Tulis Sultan Abdul Hamid dalam catatan hariannya.

Pada malam 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya didatangi beberapa orang tamu yang tidak di undang. Kedatangan mereka ke Istana Yildiz menjadi catatan sejarah yang tidak akan pernah dilupakan. Mereka datang atas nama perwakilan 240 anggota Parlimen Uthmaniyyah di bawah tekanan dari Turki Muda yang setuju penggulingan Abdul Hamid II dari kekuasaannya. Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali mengeluarkan fatwa tentang penggulingan tersebut, dan akhirnya dipersetujui oleh anggota senat yang lain. Fatwa tersebut didapati sangat aneh dan setiap orang pasti mengetahui ‘track record’ perjuangan Abdul Hamid II bahawa fatwa tersebut bertentangan dengan realiti sebenar yang berlaku di Turki dan empayar kerajaan Islam.

Keempat utusan itu adalah Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Utsmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersamanya adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga panglima Ketenteraan Uthmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan.

“Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajipan terhadap keluarga ku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?” Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tiba-tiba dan mendesak. Tidak ada simpati di raut wajah mereka.

“Negara telah memecat Anda!” Esat Pasha memberitahu kedatangannya dengan nada angkuh. Kemudian satu persatu wajah anggota rombongan itu diperhatikan dengan saksama oleh Sultan.

“Negara telah memecat ku, itu tidak ada masalah,…. tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempat ku?” Spontan Sultan murka yang amat sangat sambil menudingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dialah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika ingin mendapatkan keizinan menempatkan Yahudi di Palestin. Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tempat permukiman Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.

Jelas terlihat bahawa saat tersebut adalah saat pembalasan paling dinanti oleh Yahudi, di mana Abdul Hamid II yang telah menolak menjual Palestin pada mereka, telah mereka tunjukkan di depan muka Abdul Hamid II sendiri bahawa mereka turut serta dalam penggulingannya dari kekuasaan. Mendung menyeliputi wajah Abdul Hamid II dan wajah Khilafah Islamiah.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menyampaikan berita penggulingan ku malam itu.” Sultan Abdul Hamid meluapkan derita hatinya di dalam catatan hariannya.

Perancangan menggulingkan Sultan sebenarnya sudah dilaksanakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat belakangan sebelum peristiwa hitam itu, nama Sultan sudah tidak disebut lagi di dalam khutbah-khutbah.

“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami.” Esat Pasha menyambung pembicaraan.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puterinya yang terpaksa menyaksikan pengkhianatan terhadap dirinya. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian yang memilukan malam itu.

“Bawa adik-adik mu ke dalam.” Sultan Abdul Hamid menyuruh Amir Abdul Rahim membawa adik-adiknya ke dalam kamar.

“Aku tidak membantah keputusan mu. Cuma satu hal yang ku harapkan. Izinkanlah aku bersama keluarga ku tinggal di istana Caragan. Anak-anak ku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai ayah perlu menyekolahkan mereka.” Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Sultan sedar akan tidak ada gunanya membantah keputusan yang dibawa rombongan itu. Itulah kerisauan terakhir Sultan Abdul Hamid. Membayangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat orang itu. Malam itu juga, Sultan bersama para anggota keluarganya dengan hanya mengenakan pakaian yang di pakai pada malam tersebut di angkut di tengah gelap-gelita menuju ke stesen kereta api Sirkeci. Mereka diusir pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana milik Yahudi di Salonika, tempat pengasingan negara sebelum seluruh khalifah dimusnahkan di tangan musuh Allah.

Khalifah terakhir umat Islam, dan keluarganya itu dibuang ke Salonika, Yunani. Angin lesu bertiup bersama gerimis salju di malam itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, seakan turut sedih mengiringi tragedi memilukan itu.

Di Eminonu, terlihat Galata di seberang teluk sedih. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberangi bukit itu dalam tempoh satu malam. Mereka menerobos teluk Bosphorus yang telah dirantai pintu masuknya oleh Kaisar Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Tidak akan pernah hilang.

Terhadap peristiwa pemecatannya, Sultan Abdul Hamid II mengungkap kegundahan hatinya yang dituangkan dalam surat kepada salah seorang gurunya Syekh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:

"Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenal dengan sebutan Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya meninggalkan kekhalifahan itu. Sebelumnya, organisasi ini telah mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin. Saya tetap tidak menyetujui permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa malu. Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta poun sterling emas.

Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu. Saya menjawab dengan mengatakan, “Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri. Aku tidak akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek moyang ku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan menerima tawaran kalian.”

Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawapan saya itu, mereka dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan kekhalifahan, dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika. Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka.

Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk mencoreng Daulah Uthmaniah, dan dunia Islam pada umumnya dengan noda abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah Palestin. Biarlah semua berlalu. Saya tidak bosan-bosan mengulang rasa syukur kepada Allah Ta’ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib besar itu.

Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah Anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guru ku yang mulia. mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan. Harapan saya, semoga Anda berserta jemaah yang anda dapat memaklumi semua itu.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

22 September 1909

(Tandatangan Khalifah)

Pelayan Kaum Muslimin
(Abdul Hamid bin Abdul Majid)

Deru langkah tentera kedengaran melangkah menuju istana. Meriam ditembakkan sebagai tanda Sultan Mehmed V dinobatkan menjadi penguasa Uthmaniyyah. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V menjadi Khalifah ke 99 umat Islam sejak Abu Bakr al-Siddiq ra. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tidak memiliki kekuasaan apa-apa. Hanya boneka pengumpan yang hanya akan mempercepatkan pemberontakan untuk pembubaran Khilafah Utsmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan mati ku tidak menentu, aku merasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini mengendap di dada ku, ketika diangkat terasa lega!” keluh Sultan Abdul Hamid

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika Yunani penuh misteri.

“Sabarlah anak-anak ku. Jika Allah mengehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua.” Sultan Abdul Hamid memberi motivasi kepada seluruh kerabatnya saat kereta api sedang meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Uthman, berakhir malam itu. Balutan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Di tengah suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas bangku kereta api sambil dipicit-picit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anak ku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini.” Sultan mengusap wajahnya yang berlinangan air mata.

Terlalu lama Sultan dan keluarganya dikurung di istana milik Yahudi itu. Mereka dikurung dalam kamar tanpa perabotan sama sekali. Pintu dan jendela dilarang dibuka. Hari demi hari, adalah penantian kematian sebelum mati bagi Sultan dan keluarganya. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dihantar pulang ke Istanbul, akan tetapi anak-anaknya dipisah-pisahkan, bercerai berai. Dibuang ke Perancis menjadi pengemis yang hidup meminta-minta di lorong jalan.

Wa…Islama!!!

Keadaan semasa di pembuangan Salonika atau di istana tua Beylerbeyi Istanbul sama saja bahkan lebih parah. Sultan dan beberapa anggota keluarganya yang masih tinggal tidak dibenarkan keluar sama sekali hatta sekadar pergi ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana, tentunya dengan penjagaan yang amat ketat. Makanan untuk Sultan dan putera puterinya disukat sedemikian rupa, dengan kualiti makanan yang sangat rendah bahkan seluruh hartanya dirampas habis oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui Sultan dalam pembuangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Dia dan keluarganya selalu diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diledakkan. Pada suatu pagi selesai solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah ahli waris terpenting setelah ketiadaan Sultan nanti.

“Kita akan berikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana mereka memaksa kita menyerahkannya.” Keluh Sultan kepada Abdul Rahman dengan nada sedih.

Puteranya itu menangis teresak hebat. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang bengis itu. Beberapa hari kemudian di lobi Deutche Bank, Istanbul, terjadi peristiwa penyerahan secara paksa semua harta Sultan, termasuk seluruh tabungan Sultan kepada pihak tentera.

Sultan tinggal di istana tua sebagai penjara di Beylerbeyi selama 6 tahun dalam situasi yang sangat mengaibkan. Tubuh kurus kering dan mengidap penyakit paru-paru yang semakin parah. Sultan benar-benar di kuarantin dari dunia luar, sehinggakan untuk mengubati penyakit disukarkan oleh pihak tentera.

“Maafkan saya, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal,” doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid sambil berbisik. Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asmanya semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Sultan Abdul Hamid II menghembuskan nafas terakhir dalam penjara Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar. Akibat kebodohan mereka membiarkan Khilafah Uthmaniyyah dilumpuhkan setelah perlucutan jabatan khilafahnya, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu

Tuesday, May 18, 2010

Selamat Hari Guru

Buat rakan-rakan di SMK Seri Lalang dan SMA Parit Raja, Selamat Hari Guru...

UNTUK RENUNGAN KITA BERSAMA,
ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Sempena hari guru yang akan disambut pada 16 Mei 2010 ini saya ingin berkongsi sedikit bahan renungan sebagai panduan kita bersama.

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang. “Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan. “Oh ramai encik…” “Bagaimana dengan anak-anak kakak?” Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?” “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?” Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik. “Maksud encik?” “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.” “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.” “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?” “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.

Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’“Pasti ada! Insya-Allah.”“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” “Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.

Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” “Maksud encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”Giliran saya pula tersenyum.“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.

Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.

Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. “Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?” “Bekerjalah dengan gigih.

Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…” “Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”“Kenapa?”“Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. “Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Wallahu’alam….. sekadar ingin berkongsi dengan semua warga pendidikan yang diadaptasi daripada sahabat dari Pulau Mutiara. Sebarlah kepada sesiapa yang ingin kita kongsikan renungan ini.

Petikan asal: