Saturday, March 5, 2011

Islam Tapi Tak Beriman?

TENTU ada antara kita yang pernah tertanya-tanya pecahan penduduk dunia mengikut agama. Wikipedia mencatatkan bahawa jumlah penganut agama Kristian adalah antara 2 hingga 2.2 bilion, Islam 1.570 hingga 1.650 bilion, Hindu 828 juta hingga 1 bilion dan Buddha 400 juta hingga 1.5 bilion. Lain-lain agama lebih kecil angkanya.

Itu kata Wikepedia. Sudah tentu sebarang perangkaan boleh dipertikaikan. Maka Islamic population.com pula menegaskan bahawa jumlah orang Islam di planet bumi ini ialah 1.82 bilion pada 2009.

Di sebalik tidak muktamadnya perangkaan, yang pasti ialah jumlah orang Islam cukup ramai. Mungkin lebih ramai daripada penganut Kristian, yang agama asalnya dibawa oleh Nabi Isa lebih 500 tahun sebelum Islam.

Perangkaan ini sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam, tetapi realitinya tidak begitu. Kita akan menundukkan kepala apabila membandingkan kualiti sebilangan besar umat Islam pada hari ini dengan bukan Islam, dan umat Islam dahulu.

Dari sudut sejarah, seabad selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam berkembang pesat hingga ke Eropah dan menjadi pembimbing kepada ketamadunan manusia sejagat. Pada zaman kegemilangan Islam, lahirlah empayar demi empayar - Ummayah, Abassiyah, Fatimiyah , Mughal dan Othmaniyah - yang bukan sahaja perkasa dari segi kuasa ketenteraan, malah amat ke depan di bidang ekonomi, sains dan teknologi.

Amat kita ketahui bahawa pusat-pusat ketamadunan Islam pada masa itu telah melahirkan para saintis, ahli matematik, ahli falak, ahli falsafah dan doktor yang terkemuka pada zaman tersebut. Mereka adalah pelopor kepada ketamadunan dunia moden.

Bagaimanapun zaman kegemilangan itu berakhir bersama kemusnahan Empayar Othmaniyah pada 1923. Sejak itu, orang Islam bukan lagi jadi bangsa penakluk, tetapi ditakluki hingga ke zaman sekarang. Umat Islam jadi bangsa yang dihina, dizalimi dan dianiayai bukan sahaja oleh bukan Islam, malah sesama Islam.

Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh-tokoh reformis Islam, tetapi keadaan ummah pada zaman pasca kegemilangan tetap tidak banyak berubah. Diseru supaya bersatu, tetapi tetap berpecah. Disuruh pantas maju di bidang sains, inovasi dan teknologi, sebilangan besar umat Islam lebih senang hati sekadar menjadi masyarakat pengguna.

Malah pada era pra-peristiwa pengeboman New York 9/11, umat Islam yang kaya di rantau Arab sangat kalut kerana segala pelaburan mereka mengalir ke Barat. Begitu juga mereka sangat bergantung kepada kemahiran Barat untuk membangunkan negara masing-masing dengan upahan wang petrol mereka.

Teknokrat dari lain-lain negara Islam Islam ditakrif ‘kelas kedua’ sekalipun mempunyai kepakaran yang dihormati oleh rakan-rakan mereka dari Barat. Jika diambil bekerja, gaji mereka terlalu kecil berbanding teknokrat Barat.

Nah, ada baiknya bagi kita di Malaysia. Selepas peristiwa 9/11, semakin ramai pelabur dan pelancong Arab bertukar haluan ke sini walaupun angkanya patut lebih besar.

Di ruangan ini minggu lalu telah dibangkitkan persoalan - umat Islam sepatutnya memimpin, kenapa tidak nampak sebarang tanda yang kita akan kembali menjadi umat yang memimpin?

Pelbagai seminar dan forum telah diadakan bagi mencari penyelesaian, tetapi kita masih belum bertemu jawapan yang benar-benar boleh menjamin umat Islam kembali ke zaman kegemilangan seperti dulu.

Tidak terfikirkah kita apa rahsia kejayaan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mengembangkan Islam sehingga umatnya berjumlah hampir dua bilion sekarang. Rasulullah yang buta huruf mengembangkan Islam hanya dengan berbekalkan keyakinan (iman) dan ketaatan (takwa) kepada Allah S.W.T. Sumber ilmu ialah wahyu-wahyu yang tersusun sebagai kitab al-Quran.

Petunjuk

Al-Quranlah yang menjadi petunjuk kepada Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan umat pada zaman khalifah sehingga Islam mencapai zaman kegemilangannya. Apakah kehancuran zaman kegemilangan itu gara-gara umat Islam tidak lagi menjadikan al-Quran sebagai petunjuk? Ayat-ayat Quran lebih hebat didendang daripada dihayati dan dipatuhi.

Atau barangkali mereka tidak lagi memahami segala petunjuk dan mengingkari perintah-perintah dalam Quran.

Dan al-Quran ini adalah suatu kitab yang mempunyai berkat yang telah kami turunkan, maka mengapakah kamu mengingkarinya? - 21:50

Maka jadilah orang Islam seperti umat-umat sebelumnya yang melupai petunjuk dan perintah Allah sekalipun diturunkan beberapa kitab dan nabi demi nabi yang tugas utama mereka menyeru umat manusia supaya beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Berkuasa.

‘‘Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara bangsa) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” - 7:96

Cerminlah diri kita, apakah umat Islam kini juga tidak lagi beriman dan bertakwa, tetapi sekadar beragama Islam sahaja.

Sehingga bertemu lagi di minggu depan, renungilah hadis riwayat Tarmizi ini yang cukup jelas maksudnya.

“Dari Tsauban ia berkata: Rasulullah Saw bersabda: “Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan berebut kamu semua seperti orang-orang sedang makan yang berebut makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat yang bertanya: “Apakah masa itu kita (kaum Muslimin) berjumlah sedikit?"

Rasulullah Saw menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu banyak, namun kamun hanyalah bak buih di atas air bah [yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari]. Dan Allah SWT akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat yang bertanya lagi: “Wahai Rasulullah Saw, apakah wahn itu?" beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

Tentulah kita amat arif tentang masa atau zaman yang Rasulullah bayangkan lebih 1400 tahun lalu itu.

Sumber Oleh maulana arrif: Utusan Malaysia 

Friday, January 7, 2011

Nama-nama Besar Sepanjang 2010

13 Jan. - Bekas Pengurus Perbadanan Stadium Merdeka, Abu Bakar Kasim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tiga tuduhan rasuah.

14 Jan. - Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

15 Jan. - Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghantar komen berbentuk ugutan dalam laman Facebook berhubung isu kalimah Allah.

3 Feb. - Selepas tertangguh beberapa kali, perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu dipanggil sebagai saksi pertama.

4 Feb. - Tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan melakukan khianat sehingga mengakibatkan kebakaran kecil di dua surau 21 Januari lalu.

9 Feb. - Pergolakan politik di Perak yang berlarutan sejak setahun lalu ekoran perebutan jawatan Menteri Besar, tiba ke penghujung setelah Mahkamah Persekutuan memuktamadkan ia milik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

19 Feb. - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock, mengesahkan tiada sebarang kesan penderaan atau dicekik ditemui.

2 Mac - Pengarah Perhutanan Kedah, Kasim Osman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah atas tuduhan menerima rasuah RM5,000 pada tahun lalu.

8 Mac - Mahkamah Persekutuan memutuskan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam kerajaan 11 tahun lalu, sah di sisi undang-undang.

10 Mac - Bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana gagal memaklumkan kepada bank yang beliau seorang muflis ketika menjadi penjamin sebuah syarikat.

11 Mac - Manohara Odelia Pinot dan ibunya, Daisy Fajarina diperintahkan membayar ganti rugi RM6 juta kepada Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati fitnah yang dilemparkan terhadap suaminya adalah serius.
12 Mac - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya.

15 Mac - Pemandu lori, M. Rajamorgan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia 18 bulan, K. Haresvarra di Pangsapuri Vista Damansara, Kampung Sungai Kayu Ara, 3 Mac lalu.

23 April - Wong Mei Teng, 24, dan kekasihnya, Tan Peng Tong, 27, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Jasmine Lee Siew Hui yang berusia 10 bulan di Pangsapuri Bayu, Taman Bukit Serdang.

27 April - 'Hartawan' Lebanon, Elie Yousef Najem dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita tempatan.

10 Mei - Md. Khairudin Panirin didakwa di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menoreh kemaluan wanita tersebut.

11 Mei - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif cabang pendidikan MIC, P. Chithirakala mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menipu membabitkan penyelewengan berjumlah RM4 juta.

11 Jun - Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memutuskan pernikahan, Zizie Izette dengan Datuk Bung Moktar Radin pada 9 Jun lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan.

17 Jun - Datuk Mohamad Norza Zakaria dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh daripada tuduhan rasuah berkaitan jawatan Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung UMNO dua tahun lalu.

27 Julai - Mahkamah Rayuan menolak dengan kos rayuan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk mempertahankan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia.

29 Julai - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.

13 Ogos - Penghantar surat, Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya, Raja Muhammad Idzham, 22, masing-masing dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati.

16 Ogos - Selepas dibebaskan daripada tuduhan rasuah tahun lalu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah RM888,000.

16 Ogos - Felda memfailkan saman fitnah RM200 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap enam defendan termasuk Suara Keadilan, atas dakwaan menyiarkan artikel berbentuk fitnah.

25 Ogos - Penganggur, Mat Haizan Mat Yasin dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku menyimbah asid ke atas isterinya, Che Ku Zaimah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu pada 15 Ogos lalu.

27 Ogos - Tiga remaja dihadapkan ke Mahkamah Juvenil Seremban atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan melemparkan botol minuman keras dan menyimbah cat di surau Taman Pulai Impian, 23 Ogos lalu.

30 Ogos - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadapnya kerana menggigit seorang anggota polis, tiga tahun lalu.

1 Sept. - Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengesahkan pemain badminton negara, Roslin Hashim dan isterinya, Nurhayati Othman telah bercerai talak satu pada 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang Kuala Lumpur.

2 Sept. - Blogger, Hassan Skodeng mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen palsu berhubung artikel TNB to sue WWF over Earth Hour di blognya.

7 Sept. - Rasidi Ismail dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat ahli keluarganya setelah didapati tidak waras. Dia ditahan di Penjara Kajang, sehingga dapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

8 Sept. - Seorang lelaki didenda RM1,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah di Kangar kerana menyambut Aidilfitri sehari lebih awal.

22 Sept. - Pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil, dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Syafiah Humaira Sahari, 3, dengan cara menendang dan memijak kanak-kanak tersebut.

22 Sept. - Bapa kepada Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam kejadian letupan mercun di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga Kuala Terengganu dihukum penjara 12 bulan atas kesalahan memiliki bahan letupan terdiri daripada mercun dan bunga api.
13 Okt. - Peguam, N. Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladang miliknya termasuk seorang remaja belasan tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok Kuala Langat, Selangor atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

15 Okt. - Dua pekerja ladang peguam N. Pathmanabhan iaitu K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26 dihukum penjara tujuh tahun setelah mereka mengaku bersalah atas empat pertuduhan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga rakannya dengan cara membakar dan membuang abu mangsa.

8 Nov. - Mahkamah Persekutuan memutuskan agar saman peribadi terhadap seorang ahli perniagaan kerana didakwa 'memikat' model dan pengacara, Daphne Iking, dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

26 Nov. - Mahkamah Persekutuan menolak petisyen Sultan Ismail Petra apabila memutuskan Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai sultan apabila sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

1 Dis. - Penganggur, Mat Haizan Mat Yasin dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali selepas mengaku salah menyebabkan kecederaan terhadap dua anaknya menggunakan asid di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu Ogos lalu.

3 Dis. - Bekas timbalan pendakwa raya, Lukman Zainuddin dihukum penjara 12 bulan dan denda RM 2,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang setelah didapati bersalah atas pertuduhan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri, empat tahun lalu.

3 Dis. - Bekas Raja Permaisuri Agong, Cik Puan Siti Aishah Abdul Rahman memfailkan saman terhadap, Syed Abdullah Hussien Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers kerana bertindak melanggar maklumat sulit beliau.

6 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah yang bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta, dua tahun lalu.

6 Dis. - Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Haryoni yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

13 Dis. - Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, konsep 'plea bargaining' atau tawaran pengakuan bersalah yang memberi peluang tertuduh menikmati hukuman ringan sehingga 50 peratus akan dilaksanakan secara formal dalam prosiding mahkamah tidak lama lagi.
14 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Seksyen Ipoh.

10 Sebab Kenapa Blog Ini Bersawang

Sudah lama blog ini tidak saya masukkan entri-entri baharu. Hal ini berlaku disebabkan beberapa
perkara antarnya;
 
1. Kesibukan tugas.
2.  Pelajar-pelajar saya sibuk menghadapi peperiksaan (PMR).
3.  Saya baharu berpindah rumah.
4.  Talian streamyx yang bermasalah (sebelum dan selepas pindah.....berbulan-bulan pula tu)
5. Minda saya beku sementara.
6.  Sibuk buat majalah sekolah.
7.  Sibuk nak Induksi
8.  Sibuk nak periksa
9.  Selalu keluar kawasan....(Batu Pahat – Pontian – Kluang – Johor Baharu)
10.  Apa pun sebenarnya ....tak ada idea nak tulis apa.... he he he....
Saya akan cuba sekerap mungkin memasukkan entri-entri baharu untuk tahun 2011 ini. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan.