Dunia Murabbi

Keputusan mansuh UPSR, PMR lepas rundingan ketiga

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Keputusan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan hanya akan dibuat selepas persidangan meja bulat kali ketiga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini merupakan peringkat terakhir sebelum kerajaan memuktamadkan cadangan tersebut.

Katanya, Kementerian Pelajaran masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut, hanya satu peperiksaan atau tidak memansuhkannya sama sekali.

"Saya telah diberi taklimat mengenai hasil rundingan meja bulat kali kedua yang diadakan beberapa minggu lepas oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan banyak idea serta pandangan bernas yang diambil kira.

"Seterusnya saya telah arahkan Ketua Pengarah untuk adakan rundingan meja bulat yang ketiga dan ini adalah usaha di peringkat terakhir sebelum keputusan dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,'' katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di Stesen Sentral hari ini.

Mengulas paparan pergaduhan pelajar sekolah dalam Youtube yang disiarkan oleh akhbar The Star hari ini, beliau berkata:

"Saya dimaklumkan klip video ini telah dipos pada 2006 dan kejadian ini telah lama berlaku iaitu empat atau lima tahun lepas.

"Walau apa pun perbuatan seperti ini tidak boleh berlaku dan kita ada peraturan serta tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap pelajar yang cetuskan pergaduhannya.''

Beliau berkata, paparan klip video itu tidak boleh digunakan sebagai bukti perbuatan melanggar disiplin di sekolah semakin berleluasa.

"Jangan ambil satu kes dan digunakan sebagai ukuran bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak berkesan dalam mengawal disiplin pelajar,'' ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 5 September 2010

-------------------------------------------------------------------------------------------
Percepat Pengeluaran Garis panduan Peraturan Sekolah

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

"Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

"Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.
"Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya.
 — Bernama

-------------------------------------------------------------------------------------------
PKRS Dibentang Kepada TPM September

KUALA LUMPUR: Hasil kajian mengenai cadangan memperkenalkan subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) sebagai mata pelajaran teras dijangka dapat dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal bulan depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, berkata Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk bersama Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dipengerusikannya akan mengadakan mesyuarat pertama pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan turut dihadiri tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar yang memperjuangkan isu agama, wanita dan pendidikan untuk turut sama memberikan pandangan bagi memantapkan cadangan berkenaan.

Katanya, perbincangan itu tertumpu kepada usaha KPWKM yang menggerakkan projek perintis bagi program kesihatan reproduktif melalui kokurikulum di lima sekolah terpilih.

“Kita akan mendapatkan sebanyak mungkin input daripada projek perintis itu selain pandangan daripada NGO wanita, pendidikan dan agama sebelum ia diperhalusi dan diputuskan kerajaan.

“Kementerian Pelajaran perlu mengenal pasti sama ada projek itu wajar digerakkan melalui kokurikulum atau sebagai mata pelajaran teras termasuk Biologi mahu pun Pendidikan Moral,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Jawatankuasa Teknikal di kementerian itu akan membuat kajian teliti mengenai cadangan memperkenalkan subjek PKRS sebagai mata pelajaran teras.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, kementerian akan menerima maklumat jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran; KPWKM serta pakar berkaitan masalah sosial untuk menentukan langkah lanjut mengenainya, termasuk sama ada akan memperkenalkan subjek berkenaan secara lebih bersepadu dalam pembelajaran sedia ada.

Projek perintis program kesihatan reproduktif melalui kokurikulum digerakkan KPWKM dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bermula Jun lalu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu.

Program yang dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dilaksanakan berikutan kes kehamilan luar nikah membabitkan pelajar bawah umur semakin membimbangkan dan usaha membendung serta memberi pengetahuan mengenainya perlu dijalankan segera.

Berita Harian Online: 6 Ogos 2010

-------------------------------------------------------------------------------------------
Maka Guru Pun Berpolitik....

SUNGAI SIPUT: Kerajaan akan mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat bagi memperincikan lagi keputusan membenarkan guru siswazah terbabit aktif dalam politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata pekeliling itu bagi memberi garis panduan, khususnya kepada pengetua dan guru besar untuk menguruskan guru siswazah yang berpolitik seperti meluluskan permohonan cuti bagi urusan politik.

"Kita akan memperjelaskan lagi perkara ini supaya pengetua dan guru besar lebih memahami bentuk kebenaran yang diberikan dan bagaimana mahu mengendalikan guru yang mahu aktif berpolitik.

“Begitu pun, ia akan dipastikan tidak menjejaskan Peraturan-Peraturan Am Perkhidmatan Guru (PAPG) sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab sempena Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Bersama Warga Pendidik Daerah Kuala Kangsar di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini, semalam.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyatakan berkuat kuasa 1 Ogos lalu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik.

Muhyiddin berkata, kerajaan hanya memberi kebenaran kepada guru siswazah dan tidak penjawat awam lain untuk bergiat aktif dalam politik.

Katanya, ini disebabkan kerjaya perguruan dianggap istimewa, selain mempunyai tempoh bekerja fleksibel serta lebih memahami masalah rakyat peringkat akar umbi.

“Dari segi sejarah, guru sudah membuktikan daya kepemimpinan mereka dalam hierarki politik serta berperanan penting menggerakkan nasionalisme yang kini dirasakan kehilangannya selepas mereka dilarang aktif berpolitik,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan guru yang mahu aktif berpolitik supaya perlu memiliki kebijaksanaan, khususnya dalam pembahagian waktu kerana tanggungjawab utama mereka adalah untuk mendidik pelajar menjadi warga berguna kepada negara.

Berita Harian Online: 6 Ogos 2010